Saturday, 15 December 2018

1.    Apakah Lembaga Penasihat?

Lembaga Penasihat ditubuhkan dibawah Fasal (2) Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan. Sekarang ini satu (1) akta pencegahan yang dibuat oleh Parlimen mempunyai kaitan dengan peranan Lembaga Penasihat. Tujuan penubuhan Lembaga Penasihat ialah memberikan hak kepada orang tahanan untuk mengemukakan representasi di atas penahanannya kepada Lembaga Penasihat.

2.    Apakah peranan Lembaga Penasihat?

Peranan Lembaga Penasihat menimbangkan representasi tersebut dan seterusnya membuat syor-syor sama ada tahanan diteruskan atau sebaliknya kepada Yang di Pertuan Agong dalam masa 3 bulan dari tarikh penerimaan representasi. Lembaga Penasihat juga berperanan mengulangkaji kes-kes tahanan dan orang yang dikenakan sekatan dan seterusnya membuat syor-syor kepada YB. Menteri Dalam Negeri sama ada tahanan atau sekatan itu wajar diteruskan atau sebaliknya.

3.    Siapakah Pengerusi Lembaga Penasihat?

Pengerusi Lembaga Penasihat ialah seseorang yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dari mereka yang menjadi atau pernah menjadi atau layak menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, atau yang pernah menjadi seorang hakim Mahkamah Besar sebelum hari Malaysia.

4.    Siapakah Anggota Lembaga Penasihat?

Anggota Lembaga Penasihat ialah seorang yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

5.    Bilakah tugas Lembaga Penasihat bermula?

Tugas Lembaga Penasihat bermula apabila Setiausaha Lembaga Penasihat menerima Borang 1 daripada Pusat Pemulihan Akhlak.

6.    Apakah itu “Tarikh Genap 3 (tiga) Bulan”?

“Tarikh Genap 3 Bulan” adalah satu tempoh yang diperuntukkan dalam undang-undang yang bermula dari tarikh penerimaan representasi itu untuk Lembaga Penasihat mendengar dan mempertimbangkan representasi orang tahanan dan menghantar syor kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

7.    Apakah itu Persidangan Lembaga Penasihat?

Persidangan Lembaga Penasihat merupakan prosiding untuk mendengar representasi orang tahanan (atau melalui peguambela yang dilantik), mempertimbangkan representasi ini dan membuat syor-syor kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Komposisi Lembaga Penasihat terdiri dari seorang Pengerusi dengan dua anggota. Prosiding di hadapan Lembaga Penasihat adalah satu-satunya cara Orang Tahanan mencabar keputusan Menteri dari segi undang-undang dan fakta terhadap perintah tahanan yang dikenakan. Undang-undang berkenaan tidak memberikan hak kepada Orang Tahanan mencabar keputusan Menteri di mahkamah, kecuali perkara-perkara pematuhan prosedur melalui writ of habeas corpus.

8.    Bilakah suatu Persidangan Lembaga Penasihat diadakan?

Penetapan tarikh dan tempat Persidangan Lembaga Penasihat ditentukan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat dan pemberitahuan akan disampaikan kepada orang tahanan dan peguambelanya (jika ada) dalam bentuk notis pendengaran representasi iaitu Borang 2.

9.    Bagaimana Persidangan Lembaga Penasihat dijalankan?

Persidangan Lembaga Penasihat dijalankan secara tertutup (in camera). Terdapat satu (1) kaedah yang dirujuk dan digunapakai oleh Lembaga Penasihat dalam menjalankan persidangan iaitu Kaedah-Kaedah Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) (Prosedur Lembaga Penasihat) 1987.

10.    Bagaimanakah prosedur untuk mengetahui keputusan representasi di hadapan Lembaga Penasihat?

Orang Tahanan akan dimaklumkan berkenaan keputusan representasi oleh Kementerian Dalam Negeri.

11.    Apakah etika berpakaian semasa Persidangan Lembaga Penasihat?

Peguam hendaklah berpakaian mengikut peraturan yang berkuat kuasa ke atas mereka. Bagi saksi polis, mereka hendaklah berpakaian preman. Bagi saksi awam, mereka hendaklah berpakaian kemas manakala bagi orang tahanan / banduan pula mereka hendaklah berpakaian mengikut peraturan-peraturan sedia ada.

12.    Peguam: “Saya telah dilantik oleh Orang Tahanan untuk mewakili beliau untuk Persidangan Lembaga Penasihat. Apakah tindakan lanjut yang perlu saya selaraskan dengan pihak Lembaga Penasihat”?

Peguambela yang dilantik oleh orang tahanan untuk mewakilinya dalam Persidangan Lembaga Penasihat hendaklah seberapa cepat mungkin memaklumkan kepada Lembaga Penasihat dan mengemukakan salinan sijil amalan guaman untuk tujuan rekod. Lembaga Penasihat akan memaklumkan tarikh dan tempat Persidangan Lembaga Penasihat yang berkenaan melalui serahan Borang 2 (Representasi) atau Borang 3 (Kajian Semula).

13.    Bolehkah orang awam menjadi saksi semasa pendengaran representasi?

Bagi orang awam yang diperlukan oleh orang tahanan sebagai saksinya, peguam / orang tahanan hendaklah memberi surat pengemukaan saksi kepada Pusat Pemulihan Akhlak di mana representasi didengar untuk urusan masuk ke Pusat Pemulihan Akhlak yang berkenaan dengan menyatakan nama penuh saksi serta nombor kad pengenalan dan apakah hubungan / kerelevenan saksi terhadap kes.

14.    Sekiranya saksi dari kalangan orang tahanan sendiri / casemate, apakah yang perlu dilakukan?

Bagi saksi yang sedang menjalani perintah tahanan, atau hukuman, atau reman, atau perintah sekatan, atau penggantungan perintah tahanan dan diperlukan oleh orang tahanan untuk memberi keterangan, peguam / orang tahanan hendaklah berurusan terus dengan pihak berkuasa yang berkenaan untuk urusan menghadiri persidangan di hadapan Lembaga Penasihat.

15.    Bagaimana proses permohonan sepina?

Sepina hanya akan dikeluarkan kepada permohonan yang lengkap termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat saksi dan hubungan / kaitan dengan orang tahanan serta akujanji menanggung kos perjalanan, makan dan penginapan saksi berkenaan. Permohonan kepada Lembaga Penasihat hendaklah dibuat sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum tarikh bicara.

16.    Berapakah salinan dokumen yang diperlukan ketika representasi  di hadapan Lembaga Penasihat?

Peguam dikehendaki menyediakan, sebanyak empat (4) salinan dokumen atau ikatan autoriti untuk kemudahan rujukan Pengerusi, dua anggota dan pegawai pengendali ketika perbicaraan.


17.    Sekiranya terdapat keperluan untuk menangguh tarikh Persidangan Lembaga Penasihat, apakah yang perlu dilakukan?

Peguam / orang tahanan hendaklah menjalankan segala usaha supaya bersedia untuk perbicaraan pada hari yang ditetapkan. Peguam / orang tahanan hendaklah memohon penangguhan sesuatu kes yang telah ditetapkan perbicaraannya hanya atas sebab-sebab yang baik dan memaksa.

18.    Bagaimana keluarga tahanan boleh membuat rayuan kepada Lembaga Penasihat?

Keluarga tahanan boleh membuat rayuan terus kepada Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Kementerian Dalam Negeri ataupun terus kepada Menteri dalam Negeri.

19.    Bagaimana permohonan lawatan oleh keluarga orang tahanan dibuat?

Keluarga orang tahanan perlu menghubungi terus Pusat Pemulihan Akhlak / Tempat Tahanan Perlindungan yang berkenaan.

20.    Siapakah dia pegawai pengendali kes?

Pegawai Pengendali kes ialah pegawai polis yang mewakili Kementerian dalam Negeri.

Pautan