Saturday, 15 December 2018

Mendengar Representasi/Rayuan

Hak membuat representasi di hadapan Lembaga Penasihat adalah berbeza dengan konsep rayuan/kajian kehakiman oleh mahkamah. Representasi di hadapan Lembaga Penasihat bermaksud seperti berikut:

“….it is the right to protest, which by necessary implication and reading it in the context of Article 5 (3) of the Federal Constitution, is a right to challenge whatever is being brought against him (the detainee)’…  kes Kamarulzaman bin Yahaya v Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri [1977] 5 MLJ 256

Dalam mendengar dan menimbangkan representasi orang tahanan di bawah mana-mana undang-undang pencegahan, Lembaga Penasihat akan menimbangkan kesemua perkara undang-undang dan fakta sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan  LLPK. Perlu diingatkan bahawa perintah tahanan oleh Menteri Dalam Negeri hanya sah jika:

  • Selepas Lembaga Penasihat mendengar dan mempertimbangkan representasi orang tahanan dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh penerimaan representasi itu, atau dalam tempoh yang dibenarkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan mengemukakan syor kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan; dan
  • Selepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan arahan kepada Menteri sama ada untuk meneruskan atau menamatkan Perintah tahanan tersebut.

Pada dasarnya, prosiding di hadapan Lembaga Penasihat adalah satu-satunya cara orang tahanan mencabar keputusan Menteri dari segi undang-undang dan fakta. Undang-undang berkenaan (LLPK) tidak memberikan hak kepada orang tahanan mencabar keputusan Menteri di Mahkamah, kecuali mengenai perkara-perkara pematuhan prosedur melalui writ of habeas corpus. Dengan maksud yang lain, Lembaga Penasihat mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tidak berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa oleh pihak eksekutif yang menjalankan kuasanya di bawah undang-undang pencegahan.

Dalam menimbangkan representasi orang tahanan, Lembaga Penasihat, melalui rekod penyiasatan dan keterangan yang digunapakai oleh Menteri dalam membuat keputusannya, akan mengambil kira perkara-perkara yang berikut:

1.    Sama ada alasan pengataan fakta yang diasaskan oleh Menteri kepada Perintah Tahanan itu terhadap orang tahanan memenuhi skop undang-undang yang digunakan –

LLPK

Lembaga Penasihat akan memeriksa sama ada perintah tahanan itu mematuhi seksyen 6(1) – “ …berpuas hati berkenaan dengan mana-mana orang bahawa orang itu pernah ada atau sedang ada kaitan dengan apa-apa aktiviti yang berhubungan dengan atau yang melibatkan pengedaran dadah berbahaya, Menteri boleh , jika dia berpuas hati bahawa bagi kepentingan ketenteraman awam orang itu perlu ditahan, melalui satu perintah mengarahkan supaya orang itu ditahan selama suatu tempoh yang tidak melebihi dua tahun.”


2. Lembaga Penasihat antara lain akan mengkaji dan menimbangkan dalam soal ‘berpuas hati’ oleh Menteri dalam membuat Perintah Tahanan itu.

3. Lembaga Penasihat akan meneliti samada pengataan fakta terhadap orang tahanan bersifat mencegah (preventive) atau menghukum (punitive).

Segala perjalanan prosiding di hadapan Lembaga Penasihat hendaklah diadakan secara tertutup. Semua persoalan di hadapan Lembaga Penasihat diputuskan dengan undi lebih suara Pengerusi dan dua orang anggota. Jika salah seorang anggota itu enggan mengundi manakala Pengerusi dan anggota yang lain itu tidak bersependapat, pendapat Pengerusi hendaklah dipakai.

Pautan