Tuesday, 22 May 2018

Mengenai Lembaga Penasihat

Laman web bertujuan untuk menyebarluaskan penerangan dan maklumat mengenai Lembaga Penasihat kepada masyarakat khususnya untuk pengetahuan pegawai dan kakitangan kerajaan.  Penerangan fungsi dan peranan Lembaga Penasihat sangat penting supaya salah faham dan andaian yang tidak berasas kepada undang-undang pencegahan dapat diperjelaskan. Peranan Lembaga Penasihat yang telah menjangkau usia 52 tahun dalam melaksanakan kewajipan menurut Perlembagaan Persekutuan ini tidak begitu diketahui masyarakat. Lembaga Penasihat akan berusaha semaksima mungkin dengan sumber dan ruang yang terhad ini memberi maklumat serta penerangan mengenai fungsi dan peranannya agar masyarakat mendapat kesedaran dan pengetahuan kedudukan sebenar mengenai undang-undang pencegahan.

Lembaga Penasihat ditubuhkan di bawah Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan dan mempunyai bidang kuasa ke atas undang-undang yang berikut -

I.    Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas)1985.

Selaras dengan slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", Lembaga Penasihat merasakan kesedaran dan pengetahuan mengenai kewujudan dan signifikannya Lembaga Penasihat dalam undang-undang pencegahan wajar dizahirkan. Kurangnya maklumat mengenai proses undang-undang pencegahan telah menimbulkan kekeliruan dan salah tanggapan orang awam kepada undang-undang yang telah lama wujud ini.

Keyakinan dan persepsi rakyat juga sangat penting untuk melihat dan mengetahui bahawa Lembaga Penasihat adalah badan bebas yang melapor terus kepada Seri Paduka Baginda  Yang di-Pertuan Agong dan Baginda akan mengeluarkan perintah kepada Menteri mengenai penahanan yang telah dibuat ke atas Orang Tahanan terbabit oleh Menteri Dalam Negeri. Dengan keyakinan dan kefahaman yang betul mengenai kedudukan Lembaga Penasihat, pasti Lembaga Penasihat akan dapat menjalankan peranan dan fungsinya dengan lebih berkesan dan berwibawa. Keadaan ini selaras dengan  pesanan dan harapan Almarhum Tun Abdul Razak Bin Dato Hussein, terhadap undang-undang pencegahan ketika berucap di akhir penggulungan pembentangan Rang Undang-Undang mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri, pada hari Rabu 22 Jun 1960 di Dewan Rakyat:-

“Sir, no one can predict the future, history alone can tell; but I am of the firm conviction that if we pass this Bill today our children and grandchildren will be very thankful for our foresight, our forethought, for taking measures to protect our young nation and our new State and for taking measures to make democracy safe in this country and taking measures to make this country a healthy place for them to live in the years to come.”

Lembaga Penasihat akan terus melaksanakan peranan dan fungsinya sebagaimana awal kelahirannya pada tahun 1960 secara adil dan saksama bagi memastikan keadilan dan perlindungan serta hak di bawah undang-undang pencegahan terus ditegakkan dan dilaksanakan menurut Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

Pautan